Home

Published

- 6 min read

2018 Mclaren 720s 4.0 V8 Twin-Turbo Performance

img of 2018 Mclaren 720s 4.0 V8 Twin-Turbo Performance

Bagi saya mudah, kuasa kuda pada sesebuah kereta supercar bukan sebagai kayu ukur kelajuan bagi kereta tersebut.

Kita mungkin terkeliru dengan mengambil kira berapa banyak jumlah kuasa kuda yang dihasilkan kepada sesebuah kereta. Atau pun kita membuat penilaian teori melalui kertas spesifikasi yang dicetak oleh pengeluar kereta terebut.

Jika membuat andaian kepada kuasa kuda semata untuk menentukan kelajuan kereta tersebut, saya boleh bidas semula bahawa Porsche tidak berlumba untuk menghasilkan kuasa kuda yang tinggi, sebaliknya Porsche membuat ujian menerusi trek lumba yang bersesuaian dengan jumlah kuasa kuda, akhirnya Porsche digelar sebagai raja trek (track king) yang berupa seperti kodok, tetapi sentiasa mendapat tempat pertama dalam perlumbaan di trek!

Jual Melalui Tempahan Khas (Special Order)

Pada tahun 2020, saya telah menjual sebuah kereta yang ditempah khas dari London. Mclaren 720s 4.0 V8 Twin-Turbo! Mclaren ini dibeli oleh seorang supercar collector dan obses kepada kelajuan.

720s terdapat dua model warna oren yang seakan-akan sama, jangan terkeliru semasa membuat pemilihan warna, collector ini memilih warna Mclaren Orange dan bukannya Larva Orange. Mclaren Orange lebih terang berbanding Larva Orange. Bagi model 720s Performance, ia lebih ringan dengan menggunakan banyak komponen gentian fiber untuk mengurangkan berat kereta dan menampilkan pada kelajuan memecut.

Reka bentuk luaran, Performance lebih bersifat aerodinamik dengan splitter bahagian depan, skirt pada sisi kiri kanan dan diffuser belakang.

Kerusi untuk model Performance dilengkapkan dengan material Alcantara berbanding dengan regular model yang menggunakan balutan kulit dan selesa. Kedua-dua varien ini menggunakan ceramic brek, lazimnya, kebanyakan supercar enjin V8 akan menggunakan ceramic brek untuk mengekalkan cengkaman ketika brek pada kelajuan yang tinggi. Cuma semasa saya pandu-uji 720s, saya tidak dapat menghasilkan haba merah pada ceramic brek kerana saya tidak memandu di dalam trek, ini amat mengecewakan setiap kali saya berpeluang untuk pandu-uji supercar.

Pandu-Uji

Pada ketika ini (2020), seluruh dunia sedang dilanda wabak COVID-19, banyak jalan ditutup. Malaysia sedang dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya memohon surat permit bagi pelepasan untuk menyerahkan kereta kepada pembeli.

Sempat saya membuat pandu-uji di lebuh raya MEX, sementara melalui di kawasan hutan-hutan batu. Kereta buatan British ini jika untuk melaraskan kerusi perlu menggunakan tangan kiri, perkara ini agak kekok.

Untuk menyesuaikan diri dalam Mclaren adalah sesuatu yang berbeza dengan supercar yang lain kerana teknologi komponen dalaman sedikit berbeza dengan kereta buatan German.

Saya memecut laju hingga mencecah kelajuan 280km/h. Memandangkan Lebuh raya MEX adalah trek yang lurus, membolehkan 720s memecut hingga hampir mencapai kelajuan maksima. Badan menjadi sejuk disebabkan gayat dengan kelajuan 720s. Kebanyakan Mclaren bersifat ringan dan aerodinamik.

Reka bentuk badan yang mengikut aerodinamik sistem air-flow, dan kereta ini mementingkan kelajuan dan aerodinamik. Untuk model yamng lain seperti 540c, 570s/ GT, 650s, 675lt kebanyakan reka bentuknya adalah bermirip. Cuma 720s adalah variasi tertinggi dari semua model ketegori tadi.

Dengan jantung V8 Twin-Turbo dan kapasiti enjin 4.0L serta dibekalkan dengan 710 kuasa kuda, 720s merasa ringan dan mengapung di lebuh raya ketika pada kelajuan tinggi.

Walaupun ketika sedang laju, saya tidak merasa gayat kerana kerusinya berada pada posisi yang rendah seperti duduk di atas lantai. Bentuk kereta yang leper dengan peredaran aliran angin pada kelajuan, wing di bahagian belakang akan terbuka untuk mengimbangi kelajuan pada tahap maksima.

Bagi saya mudah, dengan kemampuan memecut dari 0-100km/h dalam 2.9 saat, 720s amat sukar dikendalikan jika kita bukan seorang pelumba profesional, 720s sangat buas di lebuh raya, jangan cuba membuat pengakuan bongkak kononnya anda pakar mengendalikan mesin buas ini jika anda hanya memilikinya untuk mempamerkan di jokey Pavilion.

720s yang buas ini hanya akan menunjukan perwatakan sebenar hanya di trek atau lebuh raya lurus yang panjang. Saya sendiri merasa takut ketika memecut hampir mencapai kelajuan 280km/h, bukan hampir tetapi telah mencapai hingga 280km/h!

Dengan kawalan steering yang ringan menjadikan 720s perlu diberi perhatian khusus ketika pada kelajuan tinggi. Pada mod Track pula, transformasi kotak gear akan menjadi lebih agresif dari norma biasa, ia akan mempengaruhi kaki pemandu di pedal minyak untuk menekan minyak bagi mendapatkan kelajuan yang lebih brutal. 720s terdapat pilihan mod comfort dan track, pada mod track, wing bahagian belakang akan memainkan peranan penting untuk menstabilkan kelajuan tinggi dan mengawal aliran angin melalui reka bentuk badan.

Jantung V8 pada mesin buas ini tidak menghasilkan deruman bunyi yang kuat kerana ia adalah V8 Twin-Turbo, Mclaren tidak memberi tumpuan kepada persaingan jenis bunyi enjin, sebaliknya mereka lebih berfokus pada aerodinamik dan kelajuan yang senyap.

The Silent Chaser saya gelarkan pada mesin buas ini lebih sesuai.

Interior/ Exterior

Mclaren kurang mendapat sambutan di Malaysia, tidak seperti Lamborghini dan Ferrari yang sentiasa mendapat permintaan hangat. Reka bentuk dalam untuk Mclaren tidak kelihatan moden seperti jenama Italy.

Tidak ada apa yang boleh dibanggakan dengan hiasan dalam Mclaren. Akan tetapi Mclaren menumpukan perhatian kepada kelajuan dan kemampuan fizikal. Ia lebih tertumpu pada keserasian alam dan juga trek. Teknologi dan reka bentuk exterior bersifat aerodinamik dan artistik.

Jenis skrin dan komponen dalaman lebih konservatif dan minimalis. Material yang digunakan keseluruhan kereta adalah struktur serat karbon yang ringan dan keras. Material ini menggabungkan bahagian atas dan bingkai cermin depan serta menghasilkan rangka badan yang lebih kukuh daripada model sebelumnya 650s.

Dengan berat tulen 1,283kg, ia membantu untuk menstabilkan kereta dengan menurunkan pusat graviti kerana enjin ditempatkan 150mm lebih rendah. Chasis kerangka badan utama yang digunakan disebut monocage ll.

Ini menunjukan Mclaren lebih mementingkan kualiti material bagi menaikkan prestasi pemanduan khususnya dalam perlumbaan atau pemanduan biasa. Anda boleh rasa dengan ketukan tangan di bahagian kerusi pemandu kekerasan monocage II dengan begitu keras dan ringan.

Yang paling manarik perhatian disini adalah jenis pintu yang digunakan penuh dramatik, saya tetap beranggapan jenis pintu ini adalah sebagai selling point semata-mata, ia dinamai Dihedral Door. Dimana pintu ini akan naik keatas dengan mempenagruhi gaya pemiliknya ketika keluar dari kereta.

Kesemua model yang saya nyatakan diatas menggunakan teknologi canggih pintu yang sama. Reka bentuk luaran kelihatan asing walaupun ia mengikut reka bentuk angin atau burung layang-layang. Dengan dilengkapi dengan tayar jenis Pirelli P-Zero, ia lebih sesuai digunakan di trek dan mampu bertahan lama untuk kegunaan harian.

Walau bagaimana pun, kesemua model Mclaren tidak sesuai untuk digunakan harian. Paparan skrin pula, di set dengan mod pertukaran automatik mengikut jenis mod pemanduan yang dipilih. Terdapat dua mod, pertama mod perlumbaan atau trek, kedua mod biasa yang hanya memaparkan kilometer laju dan rpm.

Saranan

Pada pendapat peribadi saya, jika cenderung meraih populariti, Mclaren bukanlah pilihan terbaik, Mclaren akan menampilkan perwatakan berani ingin mencuba sesuatu yang lain.

Mclaren memberikan keterampilan dalam perlumbaan dan mengasingkan diri dari kelompok sosial.

Sekiranya anda inginkan kesenian dalam kelajuan tanpa mengharapkan orang lain manjadi juri atas persembahan yang ditampilkan, Mclaren 720s adalah pilihan yang tepat tanpa perlu anda selfie di depan kereta dan kepemilikan Mclaren anda akan menjadi intisari perbualan sosial.