Home

Published

- 5 min read

2021 Mercedes Benz CLA45s Shooting Brake

img of 2021 Mercedes Benz CLA45s Shooting Brake

Mercedes Benz adalah sebuah nama yang membawa konotasi keunggulan dalam dunia permotoran. Ia mencakup dalam mengejar dunia glamor atau pun simbol kemewahan bagi masyarakat. Kereta buatan German ini memberikan signifikan yang sofistikated untuk individu yang menaruh harapan yang disemai sejak alam remaja, “bila sudah dewasa nanti nak pandu kereta Mercedes”. Jika ditanya pada pelajar sekolah pun mereka akan menyebut Mercedes sebagai kereta mewah, apatah lagi jika diceritakan pada orang luar bandar tentang Mercedes, sekaligus memberikan persepsi luar biasa kepada jenama German ini.

Tidak seperti jenama kereta yang lain tidak diketahui umum kepada jenamanya jika disebutkan kepada orang luar bandar. Bagi yang ingin mencapai impian dalam perniagaan, mereka akan meletakan Mercedes kepada senarai teratas untuk bekerja dengan gigih untuk memilikinya. Dari sudut pandang yang lain, Mercedes sentiasa tersenarai dalam memberi inspirasi kepada individu yang ingin bekerja kuat untuk mendapatkannya.

Kereta buatan German ini sentiasa menyumbang kepada motivasi ekstrinsik.

Dari pengalaman saya sendiri memandu banyak model Mercedes dalam pelbagai variasi, cuma kali ini saya terdetik untuk menulis tentang Mercedes AMG CLA45s Shooting Brake. Saya tidak katakan bahawa model CLA Shooting Brake ini adalah yang terbaik dikalangan Mercedes yang lain, tetapi kali ini ia telah membuatkan saya sedar mengenai gelaran yang unik “Shooting Brake”.

Sementara itu, istilah atau gelaran Shooting Brake adalah sejenis reka bentuk kereta yang pada asalnya merujuk kepada kenderaan yang digunakan pada abad ke-19 dimana ia digunakan untuk membawa para pemburu terutama yang menggunakan senapang atau raifal dan kelengkapan menembak. “Brake” pula adalah merujuk kepada kenderaan tanpa enjin yang ditarik oleh kuda. Dengan perkembangan arus perdana, istilah atau gelaran ini digunakan untuk menggambarkan kereta sport yang mempunyai ciri-ciri ‘wagon’ (wagon-styled cars) dengan kapasiti kargo yang lebih besar sambil mengekalkan prestasi kereta sport.

Shooting Brake kini merujuk kepada kereta dua atau empat pintu dengan bumbung yang lebih panjang. Jika menggunakan pendekatan teori Gestalt, ia kelihatan satu bentuk yang melengkung yang menggambarkan kelajuan. Cuma saya memberi kritikan dan sindiran kepada Shooting Brake ini seperti sampan atau tongkang terbalik.

Dari segi rupa bentuk Shooting Brake ini agak luar biasa kerana dalam segmen ‘wagon-styled cars’, takhta wagon masih dimenangi oleh model Audi RS4, RS6 dan juga Volvo V40.

Ini tidak dapat dinafikan.

Dua model wagon ini masih kukuh dalam budaya kumpulan wagon, reka bentuk lebih kemas dan elegan. Mercedes dengan berani melahirkan wagon Shooting Brake untuk mencipta pembaharuan dalam dunia AMG. Tidak seperti AMG C63s Estate atau wagon, reka bentuk yang sofistikated dan kelihatan segak kerana ia lebih berbeza dari reka bentuk Shooting Brake.

Ada juga yang memberi sindiran jenaka bahawa Mercedes wagon adalah kereta membawa mayat kerana kapasiti karga yang agak besar. Tetapi tidak kepada model Shooting Brake yang tercipta dari kisah membawa para pemburu untuk berburu pada abad ke-19!

Variasi Shooting Brake terhad kepada kapasiti enjin 2.0 sahaja, dibandingkan dengan model estate yang lain menggunakan kapsiti enjin dari 1.3cc hingga 5.5cc V8. Shooting Brake kali ini dipelopori oleh model CLS53 dan CL53 yang membawa gelaran Shooting Brake.

Dalam segmen AMG45, CLA hanya mengeluarkan model 45 dan 45s. Variasi tertinggi untuk CLA Shooting Brake adalah CLA45s Shooting Brake AMG dengan kuasa kuda 419. CLA Shooting Brake adalah evaluasi dari chasis model CLA-Class dan reka bentuknya dari model A-Class, kemudian disatukan menjadi Shooting Brake dan kejuruteraan AMG.

Walaupun rupa bentuknya sukar diterima oleh bangsa Mercedes di seluruh dunia, ia tetap menakjubkan kerana ia telah memberi gambaran kepada bakal pemiliknya yang berani membuat perubahan atau sebagai ‘trend-setter’ dalam sesebuah komuniti.

Mungkin kerana sindiran jenaka tentang kereta mayat masih belum kering di bibir masyarakat setempat. Inilah akibat jika terlalu memikirkan apa yang diucapkan oleh masyarakat. Individu lebih mudah hancur dengan sanjungan daripada selamat melalui kritikan.

Pengalaman Jual

Saya kongsikan pengalaman saya menjual Shooting Brake kepada pelanggan, individu ini pada asalnya ingin membeli sebuah Mercedes A45s, tetapi setelah mendengar penerangan jujur dari saya mengenai Shooting Brake, individu tersebut terus bertukar fikiran dengan memilih Shooting Brake.

Perkara ini bukanlah disebabkan oleh cerita hangat saya, tetapi pemikiran yang unik dan ingin melakukan sesuatu kelainan kepada keputusannya. Walhal, ketika itu saya ada sahaja stok A45s dan shooting Brake, kedua-duanya memberikan komisen yang sama. Tetapi disebabkan citarasa peribadi saya kepada Shooting Brake, saya menceritakan dengan jujur dan minat mendalam saya kepada AMG Shooting Brake.

Saya hanya berkongsi minat dan menterjemahkan melalui ‘salesman’. Akhirnya, hingga saat saya menulis ini, individu tersebut tidak pernah menyesal dari awal pembelian hingga sekarang! Saya menumpang gembira walaupun saya belum mampu untuk memiliki Shooting Brake!

Dengan demikian, Shooting Brake tidak mendapat tempat tertinggi di Malaysia untuk mengambil takhta dalam kumpulan AMG. Walaupun tidak popular, jika anda memandu dalam komuniti tersebut, anda akan mendapat perhatian lebih dari sebahagian AMG yang lain.

Harga

Harganya tidak begitu murah dan mencecah sehingga RM550,000.00. Untuk menggunakan bajet membeli kereta hingga setengah juta ringgit, anda boleh sahaja membuat pilihan yang lain. Tetapi dengan keberanian luar biasa, anda berjaya mengubah stigma masyarakat tentang jenaka kereta mayat.

Anda mempunyai cita rasa luar biasa untuk memiliki Shooting Brake, kereta akan menggambarkan perwatakan sebenar manusia kerana CLA45s Shooting Brake bukan sebuah keperluan melainkan sebuah kehendak dan keperluan sosial.

Oleh itu, makna tersembunyi dari gabungan Mercedes dan Shooting Brake membawa makna tentang kenderaan yang bukan sahaja mencerminkan kemewahan dan prestasi unggul, tetapi juga menyumbang kepada kemudahan dengan kapasiti karga dan praktikaliti dalam reka bentuk yang menarik perhatian.

Spesifikasi

SpesifikasiParameter
Enjin & Prestasi2.0L 4 Silinder Turbo
Kuasa Maksima421 PS (416bhp), 6,750 rpm
Kelajuan Maksima270km/h AMG Driver Package
Tork500Nm dari 5,000 hingga 5,250
Sistem Pemanduan4Matic+ Pacuan Semua Roda
Transmisi8-Kelajuan AMG Speedshift DCT Automatik
Bahan Api8.9L Petrol
Rim19 Inci AMG (Pelbagai Reka Bentuk)
AerodinamikSpoiler Belakang dan Kit Badan AMG
Gril DepanPanaamerika Grille
EkzozSistem Ekzos AMG dengan Dua Paip Ekzos Berkembar
SterengAMG Performance, Pelbagai Fungsi dengan Kawalan Sentuhan (Touch-Pad)
Sistem AudioBurmester Surround Sound
Sistem BantuanBantuan Parkir, Kamera Aktif 360 Darjah, Kawalan Kelajuan Adaptif (Distronic)
SuspensiAMG Ride Control
Mod PemanduanAMG Comfort Ride, Sport, Sport+ dan Race Mode
AMG Track PaceRekod dan Analisis Perlumbaan

Related Posts

There are no related posts yet. 😢