Home

Published

- 5 min read

Dodge Challenger SRT Hellcat Redeye Widebody 6.2L V8

img of Dodge Challenger SRT Hellcat Redeye Widebody 6.2L V8

Dodge Challenger SRT Hellcat Redeye Widebody 6.2L V8 adalah kereta yang mencipta pengalaman pemanduan ke tahap yang unik. Dengan rupa yang garang dan prestasi yang mengagumkan, kereta ini tidak pernah gagal menarik perhatian di mana sahaja ia berada.

Mari kita ‘chai’ bagaimana Hellcat Redeye Widebody ini mencorakkan pengalaman yang unik di lebuh raya, pekan dan kawasan bandar. Pada awalnya, saya agak kekok kerana steering di sebelah kiri dan beberapa kali di hon oleh kereta-kereta yang lain, saya cuma memberi isyarat ‘👍🏻’.

Sebenarnya mereka kagum dengan Hellcat ini dan tak perlu penafian jika anda sedang membaca disini. Sepanjang berbelas tahun saya menjual kereta, ini adalah kali pertama saya merasai ‘kucing dari neraka’ ini sepenuhnya. Kucing neraka ini mungkin boleh mengalih tumpuan masyarakat daripada Lamborghini dan Ferrari.

Saya tak perlu mohon maaf atas kenyataan ini kerana kucing neraka ini sebuah kereta yang agak ‘rare’ di Malaysia sudah tentu trofi adalah miliknya ketika di jalan raya mahupun di parking jokey Pavilion.

Pandu-uji di Lebuhraya DUKE

DUKE adalah trek biasa saya lalui kerana ini yang terdekat dan saya sudah menghafal jalannya. Memasuki lebuh raya dengan Hellcat adalah pengalaman yang cukup batak, kaki asyik nak tekan pedal minyak dan buat spin-tyre.

Di Amerika, budaya masyarakat disana jika diperhatikan dalam filem sememangnya mereka memandu sentiasa akan spin-tyre. Tidak hairan kerana kebanyakan kereta di Amerika adalah ‘rear-wheel drive. Enjin V8 HEMI supercharged 6.2 liter yang menghasilkan 797 kuasa kuda dan mengeluarkan kuasa yang sangat agresif.

Bila anda menekan pedal minyak, anda akan merasakan lonjakan adrenalin seiring dengan ngauman enjin yang menggetarkan jantung silap-silap boleh kena anxiety haha!. Kelajuan dan kestabilannya menjadikan perjalanan jauh itu suatu ketagihan.

Walaupun pada kelajuan tinggi, Hellcat kekal steady di jalan raya secara langsung saya yakin kereta ini selamat kerana body yang gemuk dan kukuh, sesuailah dengan saiz orang barat yang semua berbadan besar.

Reka bentuk dalaman kereta Amerika ini memang tidak menarik langsung dan nampak murah seolah-olah tidak berbaloi anda bayar mahal, mungkin mahal di Malaysia dan bukan di Amerika.

Tidak dinafikan, size kerusi yang besar dan lebar membuatkan anda sentiasa akan pandu kereta ini setiap hari berbanding Lamborghini anda yang anda sendiri paksa untuk menyukainya kononnya selesa!

Saya sebut kereta ini sebagai ‘Supersaloon Musclecar’.

Musclecar atau kereta berotot sememangnya besar, selesa dan merbahaya. Jika anda seorang yang gemuk, jangan paksa diri untuk memiliki ‘sportcar’ kerana ‘musclecar’ yang paling sesuai untuk anda. Jangan risau kerana anda juga akan dapat tempias ‘vibe’ dari komuniti Lamborghini dan Ferrari.

Tetapi malangnya anda tidak akan dijemput oleh mana-mana group Whatsapp kerana pemilik muscle tidak ramai di Malaysia. Anda sepatutnya beruntung memilikinya kerana dengan keputusan berani itu. Saya pesan disini, sediakan payung sebelum hujan kerana ramai akan mengaku sebagai ‘doktor pakar’ musclecar dan pada akhirnya musclecar anda akan dijadikan tikus makmal bila rosak.

Pandu-uji di Pekan (Head-Turning)

Memandu Hellcat di pekan adalah seperti membawa seekor harimau yang anda ikat untuk dibawa bersiar-siar. Hellcat ini tidak hanya menarik perhatian kerana bunyi enjinnya yang garang, tetapi juga kerana reka bentuknya yang klasik dan tradisional.

Di lampu isyarat, anda pasti akan menjadi tumpuan. Biasanya kalau anda jenis yang suka membongak, jangan pegang rokok sambil membuka tingkap dan tampilkan muka ‘yakin’ anda kerana tumpuan tadi akan lenyap serta merta.

Pastikan Hellcat anda tinted gelap dan biarkan masyarakat tidak tahu siapa pemandunya. Saya sebut, jangan hakis prestasi Hellcat di Malaysia kerana saya sendiri menyukai kereta ini. Dengan transmision automatik yang lancar, peralihan gear berlaku tanpa gangguan, menjadikan pemanduan di kawasan pekan lebih selesa.

Apapun, bersiaplah untuk sering kali berhenti untuk berbual dengan orang yang tertarik dengan kereta anda! Jangan sombong dan cuba gunakan kata-kata ‘alah bro biasa-biasa je’ kerana ini adalah teknik berlagak paling cemerlang zaman moden ini.

Anda boleh sahaja berkongsi pengalaman memilikinya dan sebut terus ‘saya memang minat kereta sebab tengok dalam Fast Furious atau saya nak mencuba musclecar pula. Tonton video saya, semasa di lampu isyarat, ada peminat Youtube LUXOTICARS yang sempat berbual mengenai Hellcat! Saya menyantuninya.

Kawasan Bandar

Di kawasan bandar, Hellcat tetap menyerlah dengan kelincahan dan bunyinya. Walaupun bodynya yang besar, ia mudah dikendalikan dalam lalu lintas bandar yang sibuk.

Sistem brek yang mantap memberikan keupayaan untuk berhenti dengan kemas, walaupun dalam keadaan tergesa-gesa. Keselesaan dalamannya dengan tempat duduk yang luas dan sistem infotainment yang canggih menjadikan setiap perjalanan singkat dalam bandar sebagai satu terapi.

Tidak hairan kereta anda akan sentiasa menjadi mangsa paparazi untuk mereka membuat konten, anda memandu dalam bandar musclecar bukan kereta biasa. Jika tidak biasa dengan cuaca hujan, Hellcat tidak sesuai untuk cuaca hujan atau jalan raya yang basah. Saya hampir terlanggar grab motor ketika keluar di persimpangan kerana enjin yang terlalu agresif dan ‘rear-wheel drive’.

Biasalah saya pertama kali memandunya belum mengenali Hellcat sepenuhnya. Tempoh 4 hari bersama Hellcat untuk pengambaran video belum cukup matang untuk mengenali kucing dari neraka ini.

Di Litar (MEX Highway)

Ketika tiba di litar, Hellcat menunjukkan sisi liarnya.

Di sini, saya benar-benar dapat menguji hadnya. Enjin HEMI yang berkuasa melonjakan pecutan yang cukup brutal, sementara suspension sport dan tayar lebar memberikan cengkaman yang luar biasa di selekoh walaupun berlaku sedikit slide. Di litar, saya merasai sepenuhnya keupayaan sebenar Hellcat ini. Sempat saya membuat pusingan ‘donut’ tetapi ralatnya ‘cameraman’ kehabisan batery dan tidak merakamnya.

Spesikasi

Dodge Challenger Hellcat Redeye Widebody tahun 2020

Mesin dan Performa
SpesifikasiParameter
Enjin6.2L V8 Supercharged HEMI
Kuasa Maksimum797 hp @ 6300 rpm
Tork Maksimum707 lb-ft @ 4500 rpm
Transmision8-speed Automatik
Akselerasi 0-60 mph3.4 saat
Kalajuan Maksimum203 mph (326 km/jam)
Berat
BeratParameter
Panjang197.5 inci (sekitar 501,7 cm)
Lebar78.3 inci (sekitar 198,9 cm)
Tinggi57.5 inci (sekitar 146 cm)
Jarak Sumbu Roda116.2 inci (sekitar 295 cm)
Akselerasi 0-60 mph3.4 saat
Berat KotorSekitar 4,492 lbs (sekitar 2,037 kg)
Roda dan Tayar
Roda dan TayarParameter
Roda20x11 inci forged aluminum
BanPirelli P Zero, 305/35ZR20

Kesimpulan

Dodge Challenger SRT Hellcat Redeye Widebody 6.2L V8 adalah kereta yang memberikan pengalaman pemanduan yang lengkap. Sama ada di lebuh raya, pekan, kawasan bandar, atau litar, kereta ini sentiasa memberikan prestasi yang mengagumkan dan mungkin tidak jemu untuk simpan sebagai koleksi dalam garaj.

Bagi peminat kereta yang mencari gabungan kuasa, gaya, dan keseronokan, Hellcat Redeye Widebody adalah pilihan yang sempurna.

Sebagai seorang penjual kereta, berkongsi pengalaman pemanduan dengan Hellcat Redeye Widebody pasti akan menarik minat ramai pembeli yang menginginkan sesuatu yang luar biasa dalam kehidupan mereka. Ia adalah kereta yang bukan sahaja memenuhi keperluan pemanduan harian tetapi juga memberi peluang untuk merasai kelajuan dan kuasa yang sebenar.

Related Posts

There are no related posts yet. 😢